Kunjungan Hormat ke Politeknik Kota Kinabalu

                   

                                                    
 
TIMBALAN NAIB CANSELOR HAL EHWAL AKADEMIK DAN ANTARABANGSA UMPSA MENYERAHKAN SURAT TAWARAN BERSYARAT KEPADA PELAJAR POLITEKNIK KOTA KINABALU
 
5 November 2024 | Kota Kinabalu, Sabah
 
Lt. Kol. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Politeknik Kota Kinabalu (Poli KK) sempena program rasmi beliau di Sabah pada 4 hingga 5 November 2024.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Poli KK, Tuan Haji Md Nor bin Abdul Halim, Timbalan Pengarah Akademik, Encik Abdul Razak Mohd Daim, Timbalan Pengarah Akademik Sokongan, Encik Muhammaddin Mohd Jair, Ketua Unit Perkhidmatan Industri Korporat & Latihan Industri, Ts. Dr Jason William Vitales dan beberapa pegawai tertinggi Poli KK.

Dalam ucapan Lt. Kol. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman memaklumkan bahawa kepentingan Universiti untuk menjalin hubungan erat bersama semua institusi pendidikan tinggi yang merupakan pembekal utama calon pelajar untuk menyambung pengajian di UMPSA. Tambahan pula pelajar Poli KK bakal menamatkan latihan industri pada penghujung November ini. Kesempatan ini digunakan sebaiknya dengan menyerahkan 214 surat tawaran kemasukan bersyarat kepada pelajar Politeknik KK yang bakal menamatkan latihan industri pada penghujung November ini.

Pelajar-pelajar ini ditawarkan untuk kemasukan Semester II Sesi Akademik 2024/2025 yang dijangka mendaftar pada 8 Mac 2025. Program yang ditawarkan di Poli KK adalah selari dengan program Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan yang ditawarkan di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan & Mekatronik dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam.
Selain itu, artikulasi program sedang giat dilaksanakan bersama Jabatan Pengajian Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) bagi memastikan pelajar Poli mendapat pemindahan kredit yang dapat membantu mengurangkan tempoh pembelajaran mereka di UMPSA.

UMPSA juga dijemput hadir semasa sesi pembentangan pelajar LI yang dijadualkan pada 2 Disember 2024 bagi memberikan penerangan lanjut kepada para pelajar berkaitan kemasukan terus Semester II Sesi Akademik 2024/2025.

Turut hadir sama delegasi UMPSA ke Poli KK ialah Bendahari/ Ketua Pegawai Kewangan, Dato’ Zainudin Othman, Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik, Profesor Ts. Dr. Ruzaimi Rejab, dan Pengarah Pusat Pemasaran & Kemasukan Akademik, Encik Zainal Hj Bahari.