31 Pelajar Kohort Ke 3 Program Ijazah Dual BJTU – UMPSA

 

               

                                        
31 PELAJAR KOHORT KE 3 PROGRAM IJAZAH DUAL BJTU – UMPSA DIRAIKAN DALAM MAJLIS RINGKAS DI KLIA.
 
 20 September 2024 l KLIA
 
Kesedihan, kegembiraan dan pelbagai reaksi pelajar dan ibu bapa untuk melepaskan seramai 31 orang pelajar menyambung pengajian selama 2 tahun setengah lagi di Beijing Jiaotong University (BJTU) untuk program kerjasama Ijazah Dual UMPSA – BJTU. Untuk itu, satu majlis ringkas telah diadakan oleh Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), UMPSA di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk meraikan penerbangan pelajar UMPSA – BJTU kohort 3 ke Beijing, China. Program Ijazah Dual ini adalah di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Daripada 31 pelajar, seramai 8 pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik manakala 10 pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 13 pelajar (Kejuruteraan Awam). Hadir meraikan penerbangan pelajar ialah wakil Naib Canselor Lt. Kol Dato' Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Puan Hanisah Binti Fauzi, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sebelum Perkhidmatan Luar Negara JPA, Prof Ts Dr Mohd Ruzaimi Bin Mat Rejab, Pengarah PKSA, UMPSA dan Ts. Dr. Lee Khai Loon, Timbalan Pengarah PKSA.
.
Dalam ucapan ringkas TNC (A&A) beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang telah berjaya menghabiskan pengajian selama 2 tahun di UMPSA dengan keputusan yang cemerlang sehingga melayakkan mereka menyambung pengajian selama 2 setengah tahun lagi di BJTU, China. Dato Prof Ahmad Ziad juga merakamkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang hadir kerana telah berjaya mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya dan beliau berharap pelajar ini dapat menghabiskan pengajian di China dengan cemerlang dan kembali semula ke Malaysia untuk berkhidmat dan berbakti di negara ini sebagai seorang jurutera mahir. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JPA kerana terus menyokong UMPSA dalam melaksanakan Program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik universiti di Jerman, China dan Kazakhstan dan yang terkini dengan Korea Selatan.
.
Turut menyampaikan ucapan ringkas, wakil dari JPA yang turut sama hadir menghantar pelajar Puan Hanisah Binti Fauzi. Beliau berharap pelajar dapat menggunakan peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan kembali semula ke Malaysia dengan keputusan yang cemerlang dan seterusnya berbakti untuk negara ini. Sementara itu, wakil ibu bapa pelajar Tuan Hj Mashadi Bin Dato Hj Mustafa merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UMPSA dan JPA kerana telah memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk belajar di luar negara. Beliau berharap anak-anak yang telah diberi peluang ini menjaga nama baik negara, UMPSA, pihak penaja JPA dan tidak ketinggalan menjaga nama baik keluarga.